Bukan senang nak jumpa 29 Februari... 4 tahun sekali woo...
Jom flash back apa yang pernah berlaku pada tarikh tersebut
di negara kita ini
29.02.1956 
PENUBUHAN MAJLIS GERAKAN DARURAT NEGARA
Majlis Gerakan Darurat  telah ditubuhkan  dengan dipengerusikan oleh YTM Tunku  Abdul Rahman  iaitu  Ketua  Menteri  merangkap Menteri  Pertahanan dan Menteri  Keselamatan  Dalam  Negeri. Agenda utama Majlis ini  ialah untuk menjelaskan  kepada  rakyat  tentang usaha  dan  tindakan  yang diambil  oleh kerajaan  dalam  memerangi pengganas  komunis.  Ia  juga  bertujuan  menangkis  tanggapan  segelintir  golongan  yang  kurang  pasti  terhadap  usaha-usaha dan keupayaan  kerajaan menentang  komunis.  Majlis Gerakan  Darurat  telah berjaya  memperolehi   kerjasama  dan  sokongan  daripada  seluruh  rakyat  untuk menentang  pengganas  komunis,  musuh  utama  negara  secara  habis-habisan bagi mewujudkan  keamanan negara. Ahli-ahli yang menganggotai Majlis ini ialah Leftenan Jeneral Sir Geoffery Bourne, Kolonel H.S. Lee, Dato Abdul Razak, Encik V.T. Sambanthan, Mejar Jeneral E.S. Lindsay dan Encik A.H.P. Humphrey.
29.02.1968 
MENTERI PERTAHANAN NEW ZEALAND MENYERAHKAN 
KAPAL TERBANG KEPADA TUN ABDUL RAZAK
Menteri Pertahanan New Zealand, Tuan D.S. Thomson telah menyerahkan dua buah kapal terbang jenis Devon kepada Tentera Udara Diraja Malaysia dalam satu upacara di lapangan terbang TUDM di Kuala Lumpur. Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein yang juga Menteri Pertahanan Malaysia menerima penyerahan kapal terbang yang dihadiahkan oleh kerajaan New Zealand itu. Sempena upacara penyerahan itu juga satu perbarisan kehormat terdiri dari 50 orang pegawai-pegawai TUDM telah diadakan. Ketika menyerahkan kapal terbang itu, Tuan Thomson menyatakan bahawa Tentera Udara New Zealand (RNZAF) dan TUDM mempunyai banyak persamaan dalam bidang tugas masing-masing dan sumbangan kapal terbang kepada TUDM itu adalah sebagai tanda persahabatan dan hubungan erat di antara kedua-dua angkatan udara. 29.02.1980
SIDANG MEDIA PERKHIDMATAN `EKSPRES KTM' BERMULA DARI 
KUALA LUMPUR KE SINGAPURA & BUTTERWORTH
Melalui satu sidang akhbar, Pengurus Penumpang Keretapi Tanah Melayu, Encik Zainal Abidin bin Abdul Talib, bertempat di Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Kuala Lumpur, telah memaklumkan kepada para wartawan, bahawa Keretapi Tanah Melayu akan memulakan perkhidmatan laju antara bandar, bergelar `Ekspres KTM', yang akan bertolak serentak dari Kuala Lumpur ke Singapura dan ke Butterworth pada pagi 1.3.1980. Pelancaran perkhidmatan itu dirasmikan oleh Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu, Datuk Ishak bin Tadim. Perkhidmatan ekspres tersebut akan berlepas serentak dari Kuala Lumpur ke Singapura dan ke Butterworth pada jam 7 pagi dan dijangka tiba di Singapura pada jam 12.45 tengah hari dan di Butterworth pada jam 12.40 tengah hari. Kedua-dua keretapi tersebut akan kembali ke Kuala Lumpur pada hari yang sama iaitu dari Singapura pada jam 1.15 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada jam 7 malam manakala dari Butterworth pula pada jam 1.10 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.55 petang. Tambangnya adalah sama dengan tambang perkhidmatan `Ekspres Rakyat' iaitu $25.00 bagi tempat duduk berhawa dingin dan $15.50 untuk bukan berhawa dingin.29.02.1986 
DATO MUSA HITAM MENGHANTAR SURAT PERLETAKAN JAWATANNYA 
Dato Musa Hitam menghantar surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO kerana bertentangan pendapat dengan Presiden UMNO, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad. Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO telah diadakan bagi membincangkan perletakan jawatan Dato Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Keputusan mesyuarat bersetuju memujuk Dato Musa Hitam agar kekal di jawatan Timbalan Presiden UMNO.sumber : Arkib Negara & UMNO

















