Wednesday, February 29, 2012

Trivia 29 Februari

Bukan senang nak jumpa 29 Februari... 4 tahun sekali woo...
Jom flash back apa yang pernah berlaku pada tarikh tersebut
di negara kita ini

29.02.1956
PENUBUHAN MAJLIS GERAKAN DARURAT NEGARA
Majlis Gerakan Darurat telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman iaitu Ketua Menteri merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Agenda utama Majlis ini ialah untuk menjelaskan kepada rakyat tentang usaha dan tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi pengganas komunis. Ia juga bertujuan menangkis tanggapan segelintir golongan yang kurang pasti terhadap usaha-usaha dan keupayaan kerajaan menentang komunis. Majlis Gerakan Darurat telah berjaya memperolehi kerjasama dan sokongan daripada seluruh rakyat untuk menentang pengganas komunis, musuh utama negara secara habis-habisan bagi mewujudkan keamanan negara.
Ahli-ahli yang menganggotai Majlis ini ialah Leftenan Jeneral Sir Geoffery Bourne, Kolonel H.S. Lee, Dato Abdul Razak, Encik V.T. Sambanthan, Mejar Jeneral E.S. Lindsay dan Encik A.H.P. Humphrey.


29.02.1968 
MENTERI PERTAHANAN NEW ZEALAND MENYERAHKAN 
KAPAL TERBANG KEPADA TUN ABDUL RAZAK
Menteri Pertahanan New Zealand, Tuan D.S. Thomson telah menyerahkan dua buah kapal terbang jenis Devon kepada Tentera Udara Diraja Malaysia dalam satu upacara di lapangan terbang TUDM di Kuala Lumpur. Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein yang juga Menteri Pertahanan Malaysia menerima penyerahan kapal terbang yang dihadiahkan oleh kerajaan New Zealand itu. Sempena upacara penyerahan itu juga satu perbarisan kehormat terdiri dari 50 orang pegawai-pegawai TUDM telah diadakan. Ketika menyerahkan kapal terbang itu, Tuan Thomson menyatakan bahawa Tentera Udara New Zealand (RNZAF) dan TUDM mempunyai banyak persamaan dalam bidang tugas masing-masing dan sumbangan kapal terbang kepada TUDM itu adalah sebagai tanda persahabatan dan hubungan erat di antara kedua-dua angkatan udara.



29.02.1980
SIDANG MEDIA PERKHIDMATAN `EKSPRES KTM' BERMULA DARI 
KUALA LUMPUR KE SINGAPURA & BUTTERWORTH
Melalui satu sidang akhbar, Pengurus Penumpang Keretapi Tanah Melayu, Encik Zainal Abidin bin Abdul Talib, bertempat di Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Kuala Lumpur, telah memaklumkan kepada para wartawan, bahawa Keretapi Tanah Melayu akan memulakan perkhidmatan laju antara bandar, bergelar `Ekspres KTM', yang akan bertolak serentak dari Kuala Lumpur ke Singapura dan ke Butterworth pada pagi 1.3.1980. Pelancaran perkhidmatan itu dirasmikan oleh Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu, Datuk Ishak bin Tadim. Perkhidmatan ekspres tersebut akan berlepas serentak dari Kuala Lumpur ke Singapura dan ke Butterworth pada jam 7 pagi dan dijangka tiba di Singapura pada jam 12.45 tengah hari dan di Butterworth pada jam 12.40 tengah hari. Kedua-dua keretapi tersebut akan kembali ke Kuala Lumpur pada hari yang sama iaitu dari Singapura pada jam 1.15 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada jam 7 malam manakala dari Butterworth pula pada jam 1.10 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.55 petang. Tambangnya adalah sama dengan tambang perkhidmatan `Ekspres Rakyat' iaitu $25.00 bagi tempat duduk berhawa dingin dan $15.50 untuk bukan berhawa dingin.

29.02.1986 
DATO MUSA HITAM MENGHANTAR SURAT PERLETAKAN JAWATANNYA
Dato Musa Hitam menghantar surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO kerana bertentangan pendapat dengan Presiden UMNO, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad. Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO telah diadakan bagi membincangkan perletakan jawatan Dato Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Keputusan mesyuarat bersetuju memujuk Dato Musa Hitam agar kekal di jawatan Timbalan Presiden UMNO.

sumber : Arkib Negara & UMNO